Friday, November 26, 2010











Lama sungguh jari-jemari ni tak mengetuk papan kekunci di rumah. Selepas menyusukan Qyreena jam 4.30pagi tadi mata terasa segar semula, susah nak lelapkan mata kembali. Sementara menunggu azan Subuh, elok jugak membuat sedikit catatan di blog.

Rumahku...Syurgaku...ungkapan itu amat bermakna sekali buat aku. Biar penat macam mana sekalipun, sehari dalam seminggu aku tetap akan luangkan masa mengemas dan membersihkan rumah. Bagiku suasana rumah mesti sentiasa kemas barulah fikiran tenang apabila pulang setelah penat seharian bekerja. Biarpun rumah ini di tingkat dua apartment kos sederhana tapi aku bersyukur suami telah membelinya sebelum kami diijabkabul buat tempat berlindung kami sekeluarga. Terima kasih sayang.

Hari ni 'mood' tengah baik gatal pulak tangan ni nak mengubah kedudukan perabut dalam rumah. Sebelum inipun paling kurang sebulan sekali aku mesti buat sesuatu perubahan dalam rumah supaya nampak berlainan asalkan sedap mata memandang. Paling aku titikberatkan ruang untuk anak-anak bermain. Dek kerana ruang yang agak terhadlah aku cuba sedaya upaya untuk tidak menambah perabut yang tak patut supaya tidak berserabut. Akupun bukanlah pandai sangat menghias rumah asalkan suami dan anak-anak selesa itu dah memadai. Suami pun suka, dia beri kebebasan sepenuhnya untuk mencorak sendiri dekorasi rumah asalkan nampak cantik. Tetapi sekali sekala aku minta pandangannya jugak sebab dia lebih berjiwa seni. Bertanyakan pendapat dan menghargai pandangannya membuatkan kami sehati sejiwa bila menatarias rumah. Walaupun rumahku sederhana tanpa perabut-perabut mewah dan hiasan berlebihan cukuplah dengan gabungan warna biru melambangkan langit, putih sebagai awan, hijau sebagai tumbuh-tumbuhan dan coklat sebagai tanah. Hanya beberapa 'frame' gambar jadi perhiasan buat kenang-kenangan. Beberapa pasu pokok bunga di balkoni untuk menghirup udara segar dan kolam kecil buat kura-kura kesayangan suamiku.

Athirah 5tahun manakala Qyreena 7bulan, dua umur yang agak jauh berbeza cara mereka membesar juga berbeza. Tetapi kasih sayang antara adik dan kakak tak pernah berbeza, pelukan dan ciuman yang sama. Si kakak memang tidak lekang dengan buku. Baik buku cerita atau mewarna sebulan sekali pasti aku belikan. Alhamdulillah dia lebih gemarkan buku daripada barang permainan. Si adik pulak sejak pandai merangkak ke sana ke mari mula memanjat kerusi. Risau betul tengok si kecik ni, 'baby walker' langsung tak mau masuk. Letak saja terus menjerit, menangis....dia lebih suka bebas, tak suka dikongkong. Kerana keaktifannya itulah dia kerap terjatuh pada awal permulaan aktiviti memanjatnya. Tujuan letak dalam 'baby walker' tu untuk keselamatan tatkala aku nak mengemas rumah atau memasak bila tinggal kami bertiga. Mujurlah sekarang si kakak amat prihatin menjaga adik bila bermain bersama-sama. Senang hati aku melihatnya.




main globe sama-sama yer sayang...

Burung-burung dah mula kerkicauan di luar rumah, keluar mencari rezeki. Begitu juga dengan aku akan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Sabtu kerja separuh hari, petang nanti ada jemputan kenduri perkahwinan di rumah sepupu suamiku. Mungkin malam nanti nak bawa saudara yang baru tiba dari kampung ke pusat membeli-belah di sekitar kawasan sini.