Friday, December 24, 2010

Malam tadi tengok Anugerah Skrin 2010. Masih tergiang-giang di telinga aku kata-kata Syarifah Amani tadi...Let's appreciate our talent before the day leave us. Aku bukanlah nak bercerita bakat aku cuma nak bercerita bakat anak. Aku tengok Athirah memang minat seni melukis, mungkin semua kanak-kanak pun macam tu. Asal dapat aje pensel warna ke, kertas ke, cat air ke, krayon ke mesti seronok bukan main lagi. Kanak-kanak sukakan warna-warna terang kerana warna sebenarnya mempengaruhi perkembangan minda mereka. Sempena cuti sekolah ni aku daftarkan Athirah ke Da Vinci Art & Crafts Creative Development Centre. Rugi rasanya dia tak ada apa-apa akti viti yang bermanfaat. Kat bawah ni karya agung Si Cilik Athirah bersama umminya..heh..heh.. aku pun suka conteng-coteng ni :P








Kelas ni diadakan seminggu sekali dan sehari 2jam waktu belajar. Aku tetapkan setiap Ahad pagi. Sejak didaftarkan Athirah suka sangat dan perkembangan paling baik dia bangun seawal 7.00pagi untuk bersiap-siap ke kelas melukis jam 9.00pagi. Kalau hari biasa mana ada cepat macam ni nak bangun, ada saja alasan nak bangun lambat. Siaplah ayahnya kena marah kalau terlewat bangun pagi. Maklumlah hujung minggu biasanya suami bangun lambat, istirahat. Tapi kita sebagai isteri bekerja dan ibu tak ada istilah rehat nak bersenang-lenang. Hujung minggulah masa nak make-over rumah yang seminggu sekali buat menyapu lantai, mop lantai, kemas rumah, lipat baju, basuh baju, jemur baju, gosok baju, masak, cuci pinggan mangk uk, cuci bilik air...ntah bermacam kerja lagilah. Tugasan rumah 1001 jenis. Nasib baik rumah ni tak besar sangat. Kalau besar rasanya mungkin boleh tuntut elaun sikit daripada en. suami. Bukan senang nak buat kerja rumah ni. Walaupun penat menguruskan rumah tapi aku senang hati bila rumah bersih, sedap mata memandang.





Anak adalah anugerah daripada Allah Ta'ala kepada kita. Menjadi tanggungjawab kita menyempurnakan keperluan mereka bukan setakat bagi makan, tempat tinggal dan pakaian saja malah dari segi didikan agama, pendidikan, perlindungan insuran dan tabung simpanan. Baik didikan kita maka baiklah mereka. Ramai beranggapan tugas sebagai ibu dan bapa berakhir bila seseorang anak telah bekerja dan berkahwin. Malah ada di kalangan ibu atau bapa zaman sekarang mula menuntut hutang membesarkan anak-anak. Ada juga anak menyaman ibu atau bapa kerana mendakwa ibu atau bapa mereka pilih kasih dalam soal harta pusaka. Aku pun pening bila ada hal sedemikian berlaku. Ini belum lagi kisah-kisah ngeri penderaan dan pembunuhan bayi dan kanak-kanak yang saban hari terpampang di dada akhbar. Inilah manusia moden di akhir zaman. Aku mula rasa patut pertimbangkan nasihat rakan sekerja supaya tak baca surat khabar supaya hidup tidak di selubungi ketakutan. Ada benarnya juga. Sekarang ni bila baca suratkhabar aku baca isu terkini mengenai dasar-dasar baru kerajaan dan sukan sahaja. Jenayah dan politik aku ketepikan. Jenayah rogol, rompak, bunuh..ishh mengerikan. Politik pulak A salahkan B, B salahkan A. Ntah mana yang betul mana yang salah. Konfius aku.



Hari yang paling baik dalam hidup aku bila hujung minggu dapat bersama-sama anak-anak dan suami. Makan bersama-sama, berjalan-jalan...seronoknya. Sekarang dalam perancangan aku cuba mempraktikkan jadual aktiviti keluarga supaya kami sekeluarga dapat memanfaatkan masa terluang bersama-sama. Hujung minggu mesti masak dan makan bersama-sama di rumah, setiap hari Khamis malam Jumaat mesti solat berjemaah Maghrib dan Isyak bersama-sama dan memperuntukkan hari Sabtu atau Ahad keluar bersenam. Sahut seruan kerajaan amalkan gaya hidup sihat. Lagipun umur pun dah semakin meningkat, berat pun ikut sama naik. Isk..isk..isk..



Friday, December 10, 2010

Jalan-jalan makan angin ke Kuala Lumpur...

Kali terakhir aku jejakkan kaki ke KL adalah 6 tahun yang lalu. Minggu lepas baru berkesempatan mengunjungi bandaraya ini lagi. Macam tak percaya perjalanan menaiki bas dari JB ke KL cuma 3 1/2 jam sahaja, bertolak pukul 10.30pagi tiba di Stadium Putra Bukit Jalil jam 2.00petang (perhentian bas sementara waktu menggantikan Hentian Pudu). Cepatnya masa berlalu. Aku ke KL cuma bersama Tirah, Kak Su, Ika dan Tihah. Qyreena terpaksa aku tinggalkan bersama suami. Alhamdulillah keduanya sihat dan selamat sepanjang peninggalan aku ke KL. Risau jugak sebenarnya tinggalkan diorang berdua. Kami ke KL sebenarnya cuma nak jalan-jalan bersama ibu yang kebetulan ke KL juga. Kami semua menumpang di rumah Kak Long.

Sepanjang perjalanan Tirah orang yang paling gembira dalam bas. Dia suka naik bas tak kiralah bas sekolah ke, bas henti-henti ke ataupun bas ekspres. Seronok bukan main lagi. Dahlah tak nak tidur sepanjang perjalanan asyik bertanyakan aku pukul berapa nak sampai KL. Penat layan keletah si kakak sorang ni.

Sampai sahaja di Stadium Bukit Jalil terus aku ke kaunter tiket untuk beli tiket balik ke JB. Persediaan awal supaya tidaklah tergesa-gesa nak beli tiket di saat akhir nanti. Kak Su call Kak Long dan kami menuju ke kereta yang sudah sedia menunggu. 'Punctual' sungguh Kak Long ni. Riuh rendah kami bercerita dalam kereta sampaikan Tirah cakap.." Ummi, tolong diam sikit bising sangat ni.." Terbahak-bahak pulak kami ketawa. Bukan apa kami adik-beradik cuma seronok sangat bila dapat jumpa. Sampai aje di rumah Kak Long, terus kami bersalaman dengan ibu. Rindu sungguh. Ibu nampak keletihan mungkin penat memasak untuk kami. Selepas berborak seketika terus kami menuju ke dapur, perut pun dah mula memainkan bermacam lagu. Tirah 3 kali tambah nasi macam orang dewasa makan, berselera betul dengan masakan ibu. Selepas makan apalagi membutalah...kepenatan.
Aktiviti malam syok betul berborak kami sekeluarga sampai lewat malam. Ibu nampak gembira sangat. Aku pun senang hati. Dah lama kami sekeluarga tak berborak macam ni.

Keesokan harinya kami ke KLCC bangunan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia yang suatu ketika dulu pernah diikhtirah bangunan tertinggi di dunia. Tinggi dan cantik struktur binaannya. Ini kali pertama aku ke sini. Dulu datang tak sempat ke sini sebab tergesa-gesa datang dan balik. Lepas bergambar seketika kami menuju ke Aquaria KLCC. Bermacam-macam hidupan laut ada di sini. Menarik dan mempesonakan mata memandang. Indah dan uniknya makluk ciptaan Allah Taala. Paling aku terkejut tengok spesis jerung seakan-akan wajah manusia dengan mata, hidung dan mulut. Subhanallah...



Kemudian kami ke Putrajaya....banyak kawasan masih dalam proses 'renovation'. Terpaksa datang kerana rancangan nak ke MAHA 2010 tak jadi sebab tengok kereta banyak parking tepi jalan, ramai sangat orang ke sana. Putrajaya pun tak kurang meriahnya, ramai pelancong asing ke sini...orang Putih, Arab, Jepun, Taiwan, China...semua ada. Kerana tak tahan lapar terpaksalah kami ke 'food court' Putrajaya. Mak aii..mahalnya! Nasi beriyani ayam RM13. Aku perhatikan ada segolongan pelancong dari Taiwan berselera betul makan udang galah dengan kuah kari ikan dan teh tarik. Harga pun boleh tahan RM25 seekor! Bagi golongan sederhana macam aku ni, harga tu memang mahallah bukan standard aku yang jenis suka makan kat gerai tepi jalan aje.

Malamnya kami ke 'Up Town', kata adikku tempatnya lebih kurang macam pasar malam. Cuma ianya beroperasi dari jam 10.00malam sampai 4.00pagi. Fuh berniaga sungguh orang KL ni, tak tidur malam agaknya. Kami pun ambil kesempatan jalan-jalan ke sana. Juling mata aku melihat beg tangan yang cantik-cantik di sini. Harga pun sangat berpatutan dengan design terkini. Walaupun bukan original tapi memadailah setakat nak melawa je. Jalan punya jalan aku cuma beli selipar 'Crocs' RM10 dan beg baju besar RM10 je. Kuperhatikan harga barang-barang di sini jauh lebih murah berbanding di JB. Pasaran di KL jauh lebih besar daripada JB, wujudnya banyak persaingan membuatkan peniaga menawarkan harga barangan lebih murah.



Esoknya hari terakhir kami di KL, Kak Long mengajak kami berjalan-jalan di Taman Tasik Titiwangsa. Damainya suasana di sini. Sempat kami berkelah makan tengah hari dengan bekalan yang kami masak dari rumah Kak Long. Tirah mengajak neneknya naik kereta kuda di tepi tasik. Gembira bukan main lagi dia. Pengalaman pertama menaiki kereta kuda, aku pun turut ikut sama. Kemudian kami di bawa ke Jalan Masjid India. Macam biasa Kak Long dan Apih bertindak sebagai pemandu pelancong. Rambang mata aku melihat bermacam-macam jenis tudung. Dahlah murah, murah...cantik pulak tu. Dari RM4 hingga RM15. Tak tahan aku tengok, aku beli 5helai RM30. Kalau di JB paling murah pun RM10 untuk 1 tudung.

Nak dijadikan cerita, shopping punya pasal kami terlewat bertolak ke Bukit Jalil. Kebetulan ada demonstrasi di depan Masjid Negara jalan-jalan utama banyak di tutup. Ya Allah...sesak teruk. Sampai di pertengahan jalan kami terpaksa berhenti di tepi jalan untuk ke stesen LRT kerana takut terperangkap di tengah-tengah jalanraya. Berlari tak henti-henti kami semua menaiki tangga ke stesen LRT. Nasib baik Apih jadi pemandu arah naik LRT, kalau tidak ntah ke mana kami pergi pun tau. Yang paling kesian Kak Su...disebabkan badan gempal terpaksa berlari pula ke sana sini dia nampak keletihan sangat sampaikan membisu seribu bahasa. Kesian aku tengok tapi nak buat macam mana tak ada pilihan lain lagi. Mana tidaknya naik 2 tren berlari naik turun tangga (tangga bergerak kebetulan rosak) dengan bawa beg besar, sampai ke perhentian bas Stadium Bukit Jalil. Penat!!Tapi malangnya saat kami tiba bas tersebut dah bertolak meninggalkan kami. Setelah ke kaunter tiket minta pertolongan kerani kaunter dapatlah kami menaiki bas seterusnya tanpa apa-apa bayaran tambahan. Syukur alhamdulillah. Akhirnya kami bertolak balik ke JB dengan selamat dan tiba jam 10.00malam.

Walaupun kepenatan tapi aku gembira sangat sebab dapat meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Dah lama aku rindukan suasana begini. Tahun depan kami adik-beradik merancang untuk ke Cameron Highlands. Insyaallah bermalam 1 atau 2 malam dengan menyewa di apartment untuk keluarga. Tak sabar nak tunggu saat-saat tu.

Friday, November 26, 2010











Lama sungguh jari-jemari ni tak mengetuk papan kekunci di rumah. Selepas menyusukan Qyreena jam 4.30pagi tadi mata terasa segar semula, susah nak lelapkan mata kembali. Sementara menunggu azan Subuh, elok jugak membuat sedikit catatan di blog.

Rumahku...Syurgaku...ungkapan itu amat bermakna sekali buat aku. Biar penat macam mana sekalipun, sehari dalam seminggu aku tetap akan luangkan masa mengemas dan membersihkan rumah. Bagiku suasana rumah mesti sentiasa kemas barulah fikiran tenang apabila pulang setelah penat seharian bekerja. Biarpun rumah ini di tingkat dua apartment kos sederhana tapi aku bersyukur suami telah membelinya sebelum kami diijabkabul buat tempat berlindung kami sekeluarga. Terima kasih sayang.

Hari ni 'mood' tengah baik gatal pulak tangan ni nak mengubah kedudukan perabut dalam rumah. Sebelum inipun paling kurang sebulan sekali aku mesti buat sesuatu perubahan dalam rumah supaya nampak berlainan asalkan sedap mata memandang. Paling aku titikberatkan ruang untuk anak-anak bermain. Dek kerana ruang yang agak terhadlah aku cuba sedaya upaya untuk tidak menambah perabut yang tak patut supaya tidak berserabut. Akupun bukanlah pandai sangat menghias rumah asalkan suami dan anak-anak selesa itu dah memadai. Suami pun suka, dia beri kebebasan sepenuhnya untuk mencorak sendiri dekorasi rumah asalkan nampak cantik. Tetapi sekali sekala aku minta pandangannya jugak sebab dia lebih berjiwa seni. Bertanyakan pendapat dan menghargai pandangannya membuatkan kami sehati sejiwa bila menatarias rumah. Walaupun rumahku sederhana tanpa perabut-perabut mewah dan hiasan berlebihan cukuplah dengan gabungan warna biru melambangkan langit, putih sebagai awan, hijau sebagai tumbuh-tumbuhan dan coklat sebagai tanah. Hanya beberapa 'frame' gambar jadi perhiasan buat kenang-kenangan. Beberapa pasu pokok bunga di balkoni untuk menghirup udara segar dan kolam kecil buat kura-kura kesayangan suamiku.

Athirah 5tahun manakala Qyreena 7bulan, dua umur yang agak jauh berbeza cara mereka membesar juga berbeza. Tetapi kasih sayang antara adik dan kakak tak pernah berbeza, pelukan dan ciuman yang sama. Si kakak memang tidak lekang dengan buku. Baik buku cerita atau mewarna sebulan sekali pasti aku belikan. Alhamdulillah dia lebih gemarkan buku daripada barang permainan. Si adik pulak sejak pandai merangkak ke sana ke mari mula memanjat kerusi. Risau betul tengok si kecik ni, 'baby walker' langsung tak mau masuk. Letak saja terus menjerit, menangis....dia lebih suka bebas, tak suka dikongkong. Kerana keaktifannya itulah dia kerap terjatuh pada awal permulaan aktiviti memanjatnya. Tujuan letak dalam 'baby walker' tu untuk keselamatan tatkala aku nak mengemas rumah atau memasak bila tinggal kami bertiga. Mujurlah sekarang si kakak amat prihatin menjaga adik bila bermain bersama-sama. Senang hati aku melihatnya.




main globe sama-sama yer sayang...

Burung-burung dah mula kerkicauan di luar rumah, keluar mencari rezeki. Begitu juga dengan aku akan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Sabtu kerja separuh hari, petang nanti ada jemputan kenduri perkahwinan di rumah sepupu suamiku. Mungkin malam nanti nak bawa saudara yang baru tiba dari kampung ke pusat membeli-belah di sekitar kawasan sini.

Monday, September 6, 2010

Handphone RAYA









Nokia 6233
(kiri) sebenarnya hadiah birthday yg ke-27 dari en. suami. Dia pun pakai Nokia 6233, kiranya sepasanglah. Terkejut jugak masa dia buat keputusan nak beli handphone ni sebab masa dulu baru keluar model ni, harga pun agak mahal. Tapi orang saya bini kan:P...Kalau
buat survey 100% kualiti amat memuaskan, terutama sekali gambar dan speaker. Tak pernah rosak sepanjang 3 tahun guna. Cuma tukar batteri je, itu biasalah macam bateri lain jugak.

Cerita menarik semasa nak tukar handphone. Sebelum buat keputusan yang amat berat ni, aku call sana call sini tanya kedai handphone nak 'trade-in'. Malangnya handphone kesayanganku ini rupanya dah tak ada nilai di pasaran. Sedihnya :( tapi aku tak berputus asa. En. suami cadangkan iklankan di Mudah.my. Manfaatkanlah kecanggihan teknologi di hujung jari anda. Percaya atau tidak 15minit selepas diiklankan tak putus-putus sms masuk, sampai dah tak larat nak layan. Akhirnya terjual sudah Nokia 6233. Kesimpulannya gunalah Mudah.my antara laman web yang mempunyai pasaran maya yang amat luas untuk mengiklankan apa sahaja barang untuk dijual atau service yang anda boleh tawarkan. Iklan pun percuma dan caranya amat mudah, semudah namanya.

Alhamdulillah....akhirnya termakbul juga impian aku nak tukar handphone touch screen...Samsung S5233W. Design cantik, nipis, display screen lebih besar, built-in wi-fi, bluetooth pun cepat transfer data, gambar oklah 3.2megapixel tapi kualiti gambar handphone lama Nokia 6233 lagi cantik & sound pun ok tapi Nokia 6233 lagi 'kow' speaker. Secara keseluruhannya aku puas hati dengan handphone baru ni harganya pun tidaklah terlalu mahal, selamat datang Samsung S5233W....selamat tinggal Nokia 6233. Tapi en.suami masih setia dengan cik Nokia, sayang nak jual katanya dah lama guna.

Friday, August 20, 2010

Kembali Ke Rutin Sibuk



Setelah sebulan lebih kembali bertugas, baru otak aku boleh 'refresh'. Itupun tak semua perkara dapat 'recall' semula. Nak mengingati produk baru dengan bermacam-macam fungsi, harga produk dan nak mengingati semula fungsi produk sedia ada amat memeningkan kepala aku. Al-maklumlah umur pun dah makin meningkat, tahap ingatan aku pun makin kurang. Kadang-kadang aku susah nak memahami sesuatu perkara hingga terpaksa tanya berulang-ulang kali baru faham, macam budak kecik pulak :P....mungkin ada sesiapa di luar sana pakar motivasi ke, nak minta pendapat cara mengingati dengan cepat dan menenangkan fikiran yang dah berkecamuk sangat ni.

Sedar tak sedar, dah seminggu puasa di bulan Ramadhan berlalu. Cepatnya....masa berlalu kan? Sayangnya tak dapat berjemaah solat terawih dan witir di masjid. Teringat masa zaman persekolahan dulu. Aku tinggal di asrama anak-anak yatim. Pada bulan Ramadhan, selepas balik dari sekolah kami bergegas ke kantin untuk berbuka beramai-ramai. Kena cepat sebab kami kena beratur untuk mendapatkan juadah berbuka. Kami dah terdidik begitu. Rindu gemaan suara 'Pak Usop'.... kalau bising siaplah lantang suara Pak Usop menegur kami. Selepas itu mandi, solat maghrib bergegas-gegas pula ke surau untuk solat isyak berjemaah diikuti solat sunat tarawih dan witir. Begitulah setiap hari di bulan Ramadhan yang mulia di Asrama PERKAYA. Sungguh aku amat merindui saat-saat manis itu. Terkenang kawan-kawan lama...sekarang hanya bersua di alam maya 'facebook' saja. Itupun dah syukur alhamdulillah....

Walaupun baru seminggu berpuasa orang ramai dah berpusu-pusu membeli-belah barangan untuk persiapan raya. Aku cuma suka 'window shopping' aje. tapi kalau orang dah terlalu ramai rimas pulak. Penat nak jalan-jalan, tambahan pulak anak-anak kecil lagi. Menangis, merengek-rengeklah jawabnya kedua-dua buah hati aku ni. Aku sekarang cuma beli baju raya di kedai 'on line' aje, jimat masa dan tenaga. Kalu nak dikira, beruntung kita orang Malaysia bebas ke sana ke mari, shopping selagi terdaya....selagi tak kosong beg duit, berbanding orang di Gaza tak putus-putus dengan bedilan dan tembakan meriam. Kita bangun tidur cuma fikir hari ni nak buat apa...tapi mereka yang tak bernasib baik cuma fikir di mana tempat persembunyian paling selamat untuk hari ini.

Sempena bulan yang mulia ini, bersyukurlah dengan rahmat yang Allah Ta'ala berikan ni. Moga kesihatan kita baik, rezeki mencurah-curah dan berkat dunia dan akhirat. Amin...

Sunday, August 15, 2010

Minggu Keletihan

Saat-saat riang Athirah dan Qyreena



Seminggu lebih tak bersiaran di blog, bukan apa kami sekeluarga demam berjangkit-jangkit pulak tu. Mula-mula Athirah, ayah, ummi dan akhirnya Qyreena. Pening dibuatnya. 'Pembawa demam' si kakak ni berjangkit di taska lagi, biasalah dah ramai-ramai tu tentulah macam-macam virus berjangkit. Kami sekeluarga dapat bonus 3-in-1 lagi (demam+batuk+selsema) ;<

Al-kisah aku ibu bekerja aka doktor famili. Besar tanggungjawab yang aku pikul, tapi demi keluarga aku gagahkan juga. Walaupun aku demam, anak-anak tetap menjadi keutamaanku. Nasib baik majikan di tempat kerjaku memahami situasiku, saban minggu aku dan suami terpaksa minta cuti kerana menjaga anak-anak sakit. Kami lebih senang menjaga sendiri anak-anak di saat-saat penting seperti ini. Maklumlah kanak-kanak ni bila sakit mereka amat memerlukan belaian ibubapa, manja, merengek, mudah menagis dan macam-macam ragam lagi.

Saat Qyreena demam tak tidur malam dibuatnya aku dan suami. Kami bergilir-gilir berjaga malam, maklumlah bila tak sedap badan bukannya boleh tidur lama. Kalaulah aku surirumah bekerja dari rumah tentu urusan sakit demam anak-anak dan suami boleh diuruskan tanpa perlu meminta cuti dari majikan dan tidak menjejaskan prestasi kerjaku.

Anak-anak ibarat saham kita di dunia ini untuk bekalan di akhirat nanti. Elok didikan dan asuhan maka eloklah mereka dunia akhirat, insyaallah....mudah-mudahan. Hanya doa dari anak solehah yang kita boleh harapkan bila kita sudah tiada di muka bumi ini. Teringat aku pada sebuah artikel di dada akhbar menceritakan kisah ibu yang secara tidak sengaja mendoakan perkara-perkara tidak baik kepada anak-anak. Walaupun ketika marah, sedih, penat bekerja kita terlepas cakap, kata-kata ibu adalah doa. Doa untuk anak-anak. Biarlah sekarang kita penat melayan kerenah anak-anak kecil, jangan kita kepenatan melayan kerenah anak-anak remaja yang kurang didikan dan bimbingan ibubapa akan datang.

Kebahagiaan Anak-anak, Kebahagiaan Kita jua.....

Thursday, August 5, 2010

Sekadar Hiburan



Hari ni aku nak berkongsi sedikit lawak jenaka. Bukan apa sekadar hiburan aje. Asyik fikir pasal kerja je tak boleh jugak. Ini pun en. suami yang carikan. Dia memang terror kalau bab-bab surf internet ni. Pernah tak anda semua terfikir cara kita jawab telefon ni sama je? Soalan dan jawapan hampir sama jer setiap hari .... terutamanya aku kat tempat kerja ;P. Kadang-kadang naik menyampah pun ada. Dah nama kerja kan kena buat juga. Jadi di sini apa kata kita cuba tukar jawapannya supaya taklah boring sangat.

Cara Jawab Telefon Yang Betul

1. Soalan: Haloo..siapa di sana?
Jawapan: Ntah..saya kat sini, manalah saya tau siapa kat sana.

2. Soalan: Haloo..boleh saya bercakap dengan bapak awak?
Jawapan: Nak cakap, cakap jer ler. Buat apa tanya saya.

3. Soalan: Haloo..boleh sambung ke nombor 323?
Jawapan: Maap cik. Nombor tak boleh di sambung, hanya boleh di campur jer.

4. Soalan: Haloo..mak ada umah?
Jawapan: Mak takde umah. Bapak ada sebab bapak beli umah ni.

5. Soalan: Haloo..Timah buat apa tu?
Jawapan: Kan ke saya tengah bercakap ngan awak kat tepon ni.

6. Soalan: Haloo..boleh tolong panggilkan Samad? Saya nak bercakap dengannya.
Jawapan: Sila panggil sendiri. Saya sibuk. Maap.

7. Soalan: Hallloooo....
Jawapan: Haloo..pusat sakit mental di sini. Anda ingin mendaftar?

8. Soalan: Haloo..saya nak tumpang tanya...
Jawapan: Maap, ini bukan kaunter pertanyaan.

9. Soalan: Haloo..betul ke ini nombor 2243433?
Jawapan: Sila dail sekali lagi. Kalau saya masih menjawab betul le tu.

10. Soalan: Assalamualaikum...
Jawapan: Waalaikummussalam...(tupp!..terus letak tepon. salam kita wajib jawab)

Monday, August 2, 2010

Kita Dan Ibu (Bahagian 2)

Kita Dan Ibu.... (Bahagian 2)

Menjelang usia 8 tahun, ibu belikan aiskrim. Kita ucapkan terima kasih dengan mengotorkan pakaian ibu.

Menjelang usia 11 tahun, ibu menghantar ke sekolah. Kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan ponteng kelas.
Berusia 12 tahun
, ibu menghabiskan masa sehari-hari untuk menemankan kita ke mana sahaja. Kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan tidak bertegur sapa dengannya.



Setelah berusia 13 tahun, ibu membawa menonton wayang. Kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan duduk di barisan berlainan bersama kawan-kawan.



Apabila berusia 14 tahun, ibu menyuruh membuat kerja sekolah. Kita ucapkan terima kasih dengan menunggu ibu alpa untuk mudah menonton televisyen.



Menjelang usia 15 tahun, ibu suruh pakai pakaian menutup aurat. Kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan memberitahu bahawa pakaian itu tidak sesuai zaman sekarang.

Ketika berusia 16 tahun, ibu terpaksa mengikat perut untuk membayar wang persekolahan dan asrama. Kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan tidak menulis sepucuk surat pun.

Thursday, July 29, 2010

Kita Dan Ibu (Bahagian 1)

Kita Dan Ibu... (Bahagian 1)

Ketika berusia setahun, ibu suapkan makanan dan mandikan kita. Cara kita ucapkan terima kasih kepadanya hanyalah menangis sepanjang malam.


Apabila berusia 2 tahun, ibu mengajar kita bermain. Kita ucapkan terima kasih dengan lari sambil ketawa terkekeh-kekeh apabila dipanggil.


Menjelang umur kita 3 tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuh kasih sayang. Kita ucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan ke lantai.


Ketika berusia 4 tahun, ibu membelikan sekotak pensel warna. Kita ucapkan terima kasih dengan menconteng dinding.


Berusia 5 tahun, ibu membelikan sepasang pakaian baru. Kita ucapkan terima kasih dengan bergolek-golek dalam lopak kotor.

Setelah berusia 6 tahun, ibu memimpin tangan kita ke sekolah. Kita ucapkan terima kasih dengan menjerit: Tak nak! Tak nak!
Apabila berusia 7 tahun, ibu belikan sebiji bola. Cara mengucapkan terima kasih ialah kita pecahkan cermin tingkap jiran.




Tuesday, July 27, 2010

Diari Pertama

Hari ini dalam sejarah aku menulis diari! Walaupun dalam blog tapi aku rasa teruja sangat. Sekurang-kurangnya masih belum terlambat aku tergolong dalam kategori 'blogger mama'. Selama ini aku hanya 'bersiar-siar' melawat dan mengikuti blog-blog orang lain. Blog yang aku selalu ikuti tentulah Panduan Kerja Dari Rumah nukilan Pn Masayu Ahmad.

Tujuan aku menulis dalam blog hanyalah untuk berkongsi pendapat, pengalaman dan berpeluang untuk mengenali rakan-rakan maya terutamanya golongan ibu berkerjaya ataupun surirumah sepenuh masa.

Ibu dan 2 Anak Perempuan...

Tak sangka umur dah mencecah 30 tahun, aku akhirnya bergelar ibu kepada 2 orang anak perempuan comel :P... Ini dia Nur Athirah dan Qyreena, permata hatiku. Terima kasih buat en.suami tercinta Md Junaidi Wahid. 5 tahun bercinta, 1 tahun bertunang dan akhirnya 5 tahun usia perkahwinan kita. Semoga keluarga kita sentiasa dirahmati Allah s.w.t. aminnn..

Kehadiran Qyreena dalam hidup aku, benar-benar menguji kesabaranku sebagai ibu. Hidupku kini semakin meriah melayan cahaya permata hati ini. Setiap hari bekerja bangun seawal 5pagi dan tiba di rumah malamnya jam 8. Kepenatan, tekanan, gembira semuanya bercampur-baur. Terima kasih buat suamiku yang banyak membantu kala aku kepenatan melayan kerenah si kecik. Impianku kelak bergelar WHAM supaya dapatlah aku luangkan masa-masa berharga bersama anak-anak dan suami tersayang. Semuanya masih dalam perancangan.

5 tahun Athirah bermanja denganku, kehadiran si adik menyebabkan kami berkongsi kasih sayang. Kadang-kadang kakak cemburu bila kami lebihkan perhatian pada adik. Selalu saja kakak merungut, " Ummi dah tak sayang kakak lagi ker? Kakak pun anak ummi juga. Ummi tak kesiankan kakak?" ataupun "Ummi boleh tak jaga kakak macam ummi jaga adik?". Sedih bunyinya. Bila diterangkan berulang kali barulah kakak faham. Tetapi sikap prihatin dan penyayang seorang kakak jelas terpancar, kehadiran adik telah lama di nanti kami sekeluarga. Athirah memang anak yang mendengar kata dan boleh diharap walaupun kadang-kala kenakalannya memeningkan kepala aku ditambah soalan-soalan cepu emasnya.


Saat yang tak dapat dilupakan, bila kakak tidur bersama adik. Tengok saat-saat manis ni, terus saja aku dan en.suami 'snap' beberapa gambar sebagai kenangan. Nanti bila kedua-duanya
besar dapatlah tatap gambar-gambar spontan ni.

Melihat anak-anak membesar hanya sekali seumur hidup. Kenakalan mereka hiburan kita. Bila dah besar semuanya hanya tinggal kenangan. Aku selalu berdoa semoga anak-anakku menjadi anak solehah dan berguna di masa akan datang.