Friday, December 24, 2010

Malam tadi tengok Anugerah Skrin 2010. Masih tergiang-giang di telinga aku kata-kata Syarifah Amani tadi...Let's appreciate our talent before the day leave us. Aku bukanlah nak bercerita bakat aku cuma nak bercerita bakat anak. Aku tengok Athirah memang minat seni melukis, mungkin semua kanak-kanak pun macam tu. Asal dapat aje pensel warna ke, kertas ke, cat air ke, krayon ke mesti seronok bukan main lagi. Kanak-kanak sukakan warna-warna terang kerana warna sebenarnya mempengaruhi perkembangan minda mereka. Sempena cuti sekolah ni aku daftarkan Athirah ke Da Vinci Art & Crafts Creative Development Centre. Rugi rasanya dia tak ada apa-apa akti viti yang bermanfaat. Kat bawah ni karya agung Si Cilik Athirah bersama umminya..heh..heh.. aku pun suka conteng-coteng ni :P








Kelas ni diadakan seminggu sekali dan sehari 2jam waktu belajar. Aku tetapkan setiap Ahad pagi. Sejak didaftarkan Athirah suka sangat dan perkembangan paling baik dia bangun seawal 7.00pagi untuk bersiap-siap ke kelas melukis jam 9.00pagi. Kalau hari biasa mana ada cepat macam ni nak bangun, ada saja alasan nak bangun lambat. Siaplah ayahnya kena marah kalau terlewat bangun pagi. Maklumlah hujung minggu biasanya suami bangun lambat, istirahat. Tapi kita sebagai isteri bekerja dan ibu tak ada istilah rehat nak bersenang-lenang. Hujung minggulah masa nak make-over rumah yang seminggu sekali buat menyapu lantai, mop lantai, kemas rumah, lipat baju, basuh baju, jemur baju, gosok baju, masak, cuci pinggan mangk uk, cuci bilik air...ntah bermacam kerja lagilah. Tugasan rumah 1001 jenis. Nasib baik rumah ni tak besar sangat. Kalau besar rasanya mungkin boleh tuntut elaun sikit daripada en. suami. Bukan senang nak buat kerja rumah ni. Walaupun penat menguruskan rumah tapi aku senang hati bila rumah bersih, sedap mata memandang.





Anak adalah anugerah daripada Allah Ta'ala kepada kita. Menjadi tanggungjawab kita menyempurnakan keperluan mereka bukan setakat bagi makan, tempat tinggal dan pakaian saja malah dari segi didikan agama, pendidikan, perlindungan insuran dan tabung simpanan. Baik didikan kita maka baiklah mereka. Ramai beranggapan tugas sebagai ibu dan bapa berakhir bila seseorang anak telah bekerja dan berkahwin. Malah ada di kalangan ibu atau bapa zaman sekarang mula menuntut hutang membesarkan anak-anak. Ada juga anak menyaman ibu atau bapa kerana mendakwa ibu atau bapa mereka pilih kasih dalam soal harta pusaka. Aku pun pening bila ada hal sedemikian berlaku. Ini belum lagi kisah-kisah ngeri penderaan dan pembunuhan bayi dan kanak-kanak yang saban hari terpampang di dada akhbar. Inilah manusia moden di akhir zaman. Aku mula rasa patut pertimbangkan nasihat rakan sekerja supaya tak baca surat khabar supaya hidup tidak di selubungi ketakutan. Ada benarnya juga. Sekarang ni bila baca suratkhabar aku baca isu terkini mengenai dasar-dasar baru kerajaan dan sukan sahaja. Jenayah dan politik aku ketepikan. Jenayah rogol, rompak, bunuh..ishh mengerikan. Politik pulak A salahkan B, B salahkan A. Ntah mana yang betul mana yang salah. Konfius aku.



Hari yang paling baik dalam hidup aku bila hujung minggu dapat bersama-sama anak-anak dan suami. Makan bersama-sama, berjalan-jalan...seronoknya. Sekarang dalam perancangan aku cuba mempraktikkan jadual aktiviti keluarga supaya kami sekeluarga dapat memanfaatkan masa terluang bersama-sama. Hujung minggu mesti masak dan makan bersama-sama di rumah, setiap hari Khamis malam Jumaat mesti solat berjemaah Maghrib dan Isyak bersama-sama dan memperuntukkan hari Sabtu atau Ahad keluar bersenam. Sahut seruan kerajaan amalkan gaya hidup sihat. Lagipun umur pun dah semakin meningkat, berat pun ikut sama naik. Isk..isk..isk..



Friday, December 10, 2010

Jalan-jalan makan angin ke Kuala Lumpur...

Kali terakhir aku jejakkan kaki ke KL adalah 6 tahun yang lalu. Minggu lepas baru berkesempatan mengunjungi bandaraya ini lagi. Macam tak percaya perjalanan menaiki bas dari JB ke KL cuma 3 1/2 jam sahaja, bertolak pukul 10.30pagi tiba di Stadium Putra Bukit Jalil jam 2.00petang (perhentian bas sementara waktu menggantikan Hentian Pudu). Cepatnya masa berlalu. Aku ke KL cuma bersama Tirah, Kak Su, Ika dan Tihah. Qyreena terpaksa aku tinggalkan bersama suami. Alhamdulillah keduanya sihat dan selamat sepanjang peninggalan aku ke KL. Risau jugak sebenarnya tinggalkan diorang berdua. Kami ke KL sebenarnya cuma nak jalan-jalan bersama ibu yang kebetulan ke KL juga. Kami semua menumpang di rumah Kak Long.

Sepanjang perjalanan Tirah orang yang paling gembira dalam bas. Dia suka naik bas tak kiralah bas sekolah ke, bas henti-henti ke ataupun bas ekspres. Seronok bukan main lagi. Dahlah tak nak tidur sepanjang perjalanan asyik bertanyakan aku pukul berapa nak sampai KL. Penat layan keletah si kakak sorang ni.

Sampai sahaja di Stadium Bukit Jalil terus aku ke kaunter tiket untuk beli tiket balik ke JB. Persediaan awal supaya tidaklah tergesa-gesa nak beli tiket di saat akhir nanti. Kak Su call Kak Long dan kami menuju ke kereta yang sudah sedia menunggu. 'Punctual' sungguh Kak Long ni. Riuh rendah kami bercerita dalam kereta sampaikan Tirah cakap.." Ummi, tolong diam sikit bising sangat ni.." Terbahak-bahak pulak kami ketawa. Bukan apa kami adik-beradik cuma seronok sangat bila dapat jumpa. Sampai aje di rumah Kak Long, terus kami bersalaman dengan ibu. Rindu sungguh. Ibu nampak keletihan mungkin penat memasak untuk kami. Selepas berborak seketika terus kami menuju ke dapur, perut pun dah mula memainkan bermacam lagu. Tirah 3 kali tambah nasi macam orang dewasa makan, berselera betul dengan masakan ibu. Selepas makan apalagi membutalah...kepenatan.
Aktiviti malam syok betul berborak kami sekeluarga sampai lewat malam. Ibu nampak gembira sangat. Aku pun senang hati. Dah lama kami sekeluarga tak berborak macam ni.

Keesokan harinya kami ke KLCC bangunan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia yang suatu ketika dulu pernah diikhtirah bangunan tertinggi di dunia. Tinggi dan cantik struktur binaannya. Ini kali pertama aku ke sini. Dulu datang tak sempat ke sini sebab tergesa-gesa datang dan balik. Lepas bergambar seketika kami menuju ke Aquaria KLCC. Bermacam-macam hidupan laut ada di sini. Menarik dan mempesonakan mata memandang. Indah dan uniknya makluk ciptaan Allah Taala. Paling aku terkejut tengok spesis jerung seakan-akan wajah manusia dengan mata, hidung dan mulut. Subhanallah...



Kemudian kami ke Putrajaya....banyak kawasan masih dalam proses 'renovation'. Terpaksa datang kerana rancangan nak ke MAHA 2010 tak jadi sebab tengok kereta banyak parking tepi jalan, ramai sangat orang ke sana. Putrajaya pun tak kurang meriahnya, ramai pelancong asing ke sini...orang Putih, Arab, Jepun, Taiwan, China...semua ada. Kerana tak tahan lapar terpaksalah kami ke 'food court' Putrajaya. Mak aii..mahalnya! Nasi beriyani ayam RM13. Aku perhatikan ada segolongan pelancong dari Taiwan berselera betul makan udang galah dengan kuah kari ikan dan teh tarik. Harga pun boleh tahan RM25 seekor! Bagi golongan sederhana macam aku ni, harga tu memang mahallah bukan standard aku yang jenis suka makan kat gerai tepi jalan aje.

Malamnya kami ke 'Up Town', kata adikku tempatnya lebih kurang macam pasar malam. Cuma ianya beroperasi dari jam 10.00malam sampai 4.00pagi. Fuh berniaga sungguh orang KL ni, tak tidur malam agaknya. Kami pun ambil kesempatan jalan-jalan ke sana. Juling mata aku melihat beg tangan yang cantik-cantik di sini. Harga pun sangat berpatutan dengan design terkini. Walaupun bukan original tapi memadailah setakat nak melawa je. Jalan punya jalan aku cuma beli selipar 'Crocs' RM10 dan beg baju besar RM10 je. Kuperhatikan harga barang-barang di sini jauh lebih murah berbanding di JB. Pasaran di KL jauh lebih besar daripada JB, wujudnya banyak persaingan membuatkan peniaga menawarkan harga barangan lebih murah.



Esoknya hari terakhir kami di KL, Kak Long mengajak kami berjalan-jalan di Taman Tasik Titiwangsa. Damainya suasana di sini. Sempat kami berkelah makan tengah hari dengan bekalan yang kami masak dari rumah Kak Long. Tirah mengajak neneknya naik kereta kuda di tepi tasik. Gembira bukan main lagi dia. Pengalaman pertama menaiki kereta kuda, aku pun turut ikut sama. Kemudian kami di bawa ke Jalan Masjid India. Macam biasa Kak Long dan Apih bertindak sebagai pemandu pelancong. Rambang mata aku melihat bermacam-macam jenis tudung. Dahlah murah, murah...cantik pulak tu. Dari RM4 hingga RM15. Tak tahan aku tengok, aku beli 5helai RM30. Kalau di JB paling murah pun RM10 untuk 1 tudung.

Nak dijadikan cerita, shopping punya pasal kami terlewat bertolak ke Bukit Jalil. Kebetulan ada demonstrasi di depan Masjid Negara jalan-jalan utama banyak di tutup. Ya Allah...sesak teruk. Sampai di pertengahan jalan kami terpaksa berhenti di tepi jalan untuk ke stesen LRT kerana takut terperangkap di tengah-tengah jalanraya. Berlari tak henti-henti kami semua menaiki tangga ke stesen LRT. Nasib baik Apih jadi pemandu arah naik LRT, kalau tidak ntah ke mana kami pergi pun tau. Yang paling kesian Kak Su...disebabkan badan gempal terpaksa berlari pula ke sana sini dia nampak keletihan sangat sampaikan membisu seribu bahasa. Kesian aku tengok tapi nak buat macam mana tak ada pilihan lain lagi. Mana tidaknya naik 2 tren berlari naik turun tangga (tangga bergerak kebetulan rosak) dengan bawa beg besar, sampai ke perhentian bas Stadium Bukit Jalil. Penat!!Tapi malangnya saat kami tiba bas tersebut dah bertolak meninggalkan kami. Setelah ke kaunter tiket minta pertolongan kerani kaunter dapatlah kami menaiki bas seterusnya tanpa apa-apa bayaran tambahan. Syukur alhamdulillah. Akhirnya kami bertolak balik ke JB dengan selamat dan tiba jam 10.00malam.

Walaupun kepenatan tapi aku gembira sangat sebab dapat meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Dah lama aku rindukan suasana begini. Tahun depan kami adik-beradik merancang untuk ke Cameron Highlands. Insyaallah bermalam 1 atau 2 malam dengan menyewa di apartment untuk keluarga. Tak sabar nak tunggu saat-saat tu.